Tuan Shaykh Muhammad Sa'id Al-Linqqi – (1874-1926)
Nama penuhnya tokoh besar ini ialah Tuan Shaykh Haji Muhammad Sa'id bin Haji Jamaluddin bin Haji Idris bin Haji Abdul Mukmin bin Muhammad Nakhoda al-Minankabawi bin Ahmad bin Umar bin Shalih bin Abdullah (berasal dari Hadralmawt) .
Ibunya Hajah Safiah Haji Muhamad Saleh Al Fatani berasal dari Patani, seorang pembaca Al-Quran yang terkenal dan pernah menjadi guru qiraati semasa di Mekah. Datuknya Tuan Shaykh Haji Muhamad Saleh juga seorang ulama terkenal dan berkahwin dengan Mariam, anak kepada ulama Shaykh Abdul Rashid Al-Fatani (satu-satunya ulama Melayu yang pernah mengajar di Masjidil Aqsa).
Tuan Shaykh Haji Muhammad Sa'id telah dilahirkan di Kota Mekah di Kampung Syi'b Ali pada hari Sabtu 4 Syaaban 1292H bersamaan 25 atau 18 September 1871.[1]
Kemudiannya beliau dibawa balik ke Patani dalam tahun 1882 ketika berusia 7 tahun. Di sana Tuan Shaykh Muhamad Sa'id dipelihara oleh ibu dan neneknya (Mariam). Apabila usianya menjangkau 17 tahun, beliau pun belayarlah ke Mekah Al-Mukarramah tempat ianya dilahirkan.
Antara guru-gurunya di Mekah yang berasal dari dunia Melayu ialah: Tuan Shaykh Ahmad Khatib al-Minankabawi , Tuan Shaykh Zainuddin as-Sumbawi , Tuan Shaykh Wan Ali al-Kalantani dan Tuan Shaykh Ahmad al-Fathani [2]. Di Madinah,Tuan Shaykh Muhammad Sa'id pernah belajar kepada Tuan Shaykh Sayyid Jaafar al-Barzanji , Mufti Mazhab Syafie di Madinah al-Munawwarah. Juga, beliau telah menimba ilmu daripada antaranya Tuan Shaykh Muhammad bin Sulayman Hasab Allah al-Makki , Tuan Shaykh Muhammad Nawawi al-Bentani , Tuan Shaykh Sayyid Abu Bakar al-Syata , Tuan Shaykh Ahmad al-Mansyawiy , Tuan Shaykh Umar al-Syami , Tuan Shaykh Muhammad Sa’id bin Muhammad Babsil (Mufti Mazhab Syafii di Mekah) , Tuan Shaykh Abdul Karim al-Deghastani dan Shaykh Umar bin Abi Bakar Bajunid . [3]
Beliau juga pernah mengembara memperdalam ilmu ke Mesir. Di sana beliau sempat belajar kepada Tuan Shaykh Syamsuddin al-Anbaby , Shaykh al-Azhar pada zaman itu. Juga beliau belajar kepada Tuan Shaykh Ahmad ar-Rifa'ie , ulama besar Mazhab Maliki di al-Azhar dalam tahun 1896.
Di dalam bidang yang khusus, beliau menerima Tariqah Ahmadiah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiah daripada Tuan Shaykh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi dan mendapat ijazah pada akhir tahun 1316 Hijrah (bulan April 1901). [4] Tuan Shaykh Haji Muhamad Sa’id adalah khalifah atau wakil peribadi Tuan Shaykh Muhamad Ad-Dandarawi bagi kepulauan Melayu atau tanah Jawi. Pondoknya dibina di Ampangan, Seremban. Pondok ini dikatakan yang pertama diwujudkan di negeri ini dan ramai murid-murid dari serata tempat dalam Negeri Sembilan dan luar datang memondok di sana. Selain dari itu beliau juga keluar memberi kuliah di masjid dan surau. Beliau dikatakan alim dalam ilmu alat, usulludin, fiqh 4 mazhab, ilmu rohani, hikmat, falsafah dan lain-lain lagi.
Pada 12 Rabiul awal 1345 bersamaan 18 September 1926, Ulama terbilang ini menghembuskan nafas terakhirnya. Jasadnya diiringi ke tanah perkuburan berhampiran Kebun Bunga Seremban oleh lebih kurang 5000 umat Islam termasuk anak muridnya dan Almarhum Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu iaitu Tuanku Muhamad sendiri.
_______________________________________
[1] Menurut Tuan Shaykh Wan Mohd Saghir , tahun lahir Tuan Shaykh Haji Muhammad Sa’id adalah 1871. Namun catatan Nawawi Haji Indek dalam tahun 1873 dan Ismail Che Daud pada 1875
[2] Risalah Kanzul Mu'id karya Tuan Shaykh Mufti Haji Ahmad bin Shaykh Muhammad Sa’id pada 1971
[3] Terjemahan dan saringan daripada buku al-Turuq al-Sufiyyah fi Maliziya wa Atharuha ‘ala al-Da’wah al-Islamiyyah, karangan Dr. Hj. Sulaiman bin Ibrahim al-Baruhi, terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, 2000.
[4] al-Turuq al-Sufiyyah fi Maliziya wa Atharuha ‘ala al-Da’wah al-Islamiyyah, karangan Dr. Hj. Sulaiman bin Ibrahim al-Baruhi, terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, 2000.
__________________________________________________________________ Para pengunjung yang dihormati. Anda diberikan keizinan am untuk mencetak mana-mana halaman dari laman web ini, dengan syarat ia adalah untuk kegunaan peribadi sahaja.
Anda juga dibenarkan menyalin dan menerbitkannya semula, sama ada di dalam laman web yang lain, atau sebagai bahan bercetak di dalam bentuk buku, majalah atau periodikal, dengan syarat diikuti dengan rujukan kembali kepada alamat lelaman http://www.ahmadiah-idrisiah.com yang boleh ditekan.