Tuan Shaykh Haji Ahmad bin Muhammad Sa'id menjadi Khalifah Tariqah Kedua selepas Tuan Shaykh Haji Abdullah . Tuan Shaykh Haji Ahmad adalah adik kepada Tuan Shaykh Haji Abdullah .
Beliau dilahirkan di Kampung Bukit Ampangan Seremban pada 26 Rabiul awal 1328 bersamaan 1912. [1]
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Ampangan hingga tamat. Sebagaimana abangnya, beliau kemudiannya mendapat didikan langsung dari bapanya. Beliau menunaikan haji sewaktu berusia 15 tahun selepas kematian bapanya dan melanjutkan pengajian agama di Mekah selama 7 tahun.
Di Mekah, Tuan Shaykh Haji Ahmad berguru dengan beberapa ulama terkenal seperti Tuan Shaykh Ali Al-Maliki, Tuan Shaykh Abd Sattar Al Kutubi, Tuan Shaykh Said Al Yamani dan Tuan Shaykh Abdul Hai Al Kattani. Beliau seorang penuntut yang sangat tekun belajar dan dikasihi guru-gurunya. Sebagai tanda kecemerlangan beliau, guru-gurunya telah memberi Akuan (Ijazah) kepada Tuan Shaykh Haji Ahmad ini. Sekembalinya ke tanahair tahun 1934 beliau mendirikan madrasah yang dinamakan As-Saidiah di Rasah. Ramai ulama negeri ini yang mendapat asuhan agama dari beliau. Tuan Shaykh Ahmad ini sepertimana Allahyarham bapanya turut menguasai ilmu agama dalam bidang-bidang seperti Usulludin, syariah, tasawuf, nahu-saraf, falak dan pemegang khalifah tariqah Ahmadiah.
Apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan ditubuhkan, beliau telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan yang pertama dan selalu diutamakan dalam majlis-majlis rasmi negara yang diadakan di Istana Negara Kuala Lumpur. Beliau juga yang telah memanjatkan doa ketika Hari Merdeka.
Tuan Shaykh Haji Ahmad banyak mengarang buku-buku dan risalah keagamaan. Antaranya ialah kitab Tuhfatul Autan, Safinatus Salamah, Kaifiat Sholat Tarawih, Al Kaulul Wafi, Firaidul Maksir, Kanzul Muiz, wirid-wirid Tariqah Ahmadiah dan lain-lain lagi.
Pada 7 Januari 1964 ( 21 Shaaban 1383) jam dua petang (Selasa), Tuan Shaykh Haji Ahmad ini menghembuskan nafas terakhirnya ketika masih menjawat jawatan Mufti. Beliau dikebumikan di samping makam bapanya dalam usia 52 tahun.