As-Shaykh Al-Fadhil Ustaz Mohamad Hasbi bin Hassan
Diantara salah satu daripada tokoh ulama di Singapura adalah Tuan guru kami, as-Shaykh Al- Fadhil Ustaz Mohammad Hasbi bin Hassan. Beliau adalah seorang tokoh ulama yang disegani dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Beliau banyak berjasa bagi kegiatan dakwah Islamiah di Singapura dengan memikul pelbagai tugasan, mengorbankan masa dan harta. Malah kesemua ahli keluarganya, terutama ibubapa dan adik-beradik beliau turut mendokong peranan tuan guru demi untuk masyarakat Islam di Singapura khususnya.
Mendapat pendidikan awal di salah sebuah sekolah Inggeris di Singapura. Kemudian melanjutkan pengajian agamanya di Madrasah Al-Junied AlĀIslamiah sehingga tamat pada tahun 1977. Selepas menamatkan pengajian di madrasah tersebut, beliau menyambung pengajiannya di Universiti Al-Azhar pada tahun 1978 sehingga dengan izin Allah s.w.t beliau mendapat ijazah pertamanya (B.A.) dari Kuliah Usuluddin bahagian Aqidah dan Falsafah, di universiti tersebut pada tahun 1982. Pada tahun yang sama juga beliau meneruskan pengajian beliau di bidang yang sama di peringkat sarjana (M.A.) di universiti yang sama dan juga di Universiti Kahirah, Mesir. Namun beliau tidak dapat meneruskan pengajian beliau di peringkat tersebut, di dua buah universiti itu.
Beliau pulang ke Singapura pada akhir tahun 1985 dan berkhidmat di Madrasah Al-Junied selaku guru dan kemudian selaku Naib Mudir hingga tahun 1996. Pada tahun 1997 dengan izin Allah s.w.t beliau berpeluang meneruskan pengajian di peringkat sarjana (M.A.) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Alhamdulillah beliau berjaya dan dikurniakan ijazah sarjana (M.A.) di bidang Usuluddin dan Falsafah dari universiti tersebut pada tahun 2004.
Dengan kehendak Allah s.w.t., beliau telah berkhidmat dengan PERGAS sejak tahun 1986 selaku Setiausaha Kehormat, Penolong Setiausaha Kehormat, Naib Presiden dan Presiden sehingga kini. Dengan kehendak Allah s.w.t. juga beliau telah berkhidmat sebagai Anggota Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dari tahun 1993 hingga 1997, juga sebagai anggota penuh dan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Singapura dari tahun 1993 hingga kini. Beliau turut memberikan sumbangan selaku Anggota Teras dalam pembentukan Kumpulan Pemulihan Agama atau lebih dikenali sebagai RRG (Religious Rehabilitation Group). Beliau juga adalah Naib Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah atau ARB (Asatizah Recognition Board). Pada bulan April tahun 2006 beliau diminta untuk menerajui Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan beliau telah berkhidmat sebagai mudirnya hinggalah tamat kontrak pada Feb 2008. Beliau juga dilantik sebagai wakil Khalifah Tariqah Ahmadiah Singapura pada tahun 2004 oleh Tuan Shaykh Ahmad Idris bin Muhammad al-Hassan (seorang cicit kepada Pengasas Tariqah Ahmadiah Idrisiah) yang kini menetap di Sudan.
Semua jawatan dan tanggungjawab tersebut tidak pernah dimintanya tetapi dilantik dan diserahkan kepada beliau atas kepercayaan terhadap diri beliau.
Semoga Allah s.w.t. meredhai, menerima dan memberkati segala usaha baik beliau, menetapkan keimanannya dan meningkatkan ketaqwaannya dan diberinya sebaik-baik ganjaran di dunia dan juga di akhirat, Amiin.

Rajah Penerimaan Tariqah beliau
Ijazah Pentauliahan beliau
__________________________________________________________________
Para pengunjung yang dihormati. Anda diberikan keizinan am untuk mencetak mana-mana halaman dari laman web ini, dengan syarat ia adalah untuk kegunaan peribadi sahaja.
Anda juga dibenarkan menyalin dan menerbitkannya semula, sama ada di dalam laman web yang lain, atau sebagai bahan bercetak di dalam bentuk buku, majalah atau periodikal, dengan syarat diikuti dengan rujukan kembali kepada alamat lelaman http://www.ahmadiah-idrisiah.com yang boleh ditekan.