Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Selawat dan Salam kepada Nabi Muhammad serta ahli keluarganya dan sahabatnya.
Assalamualaikum wr. wb.
Adapun kami merupakan segolongan Ikhwan Tariqah Ahmadiah Idrisiah Singapura. Kami telah menerima bai’ah daripada Ustaz Mohamad Hasbi Bin Hassan yang telah dilantik untuk menjadi wakil di Singapura secara ijazah khusus daripada Shaykhul Tariqah, Tuan Shaykh Ahmad Idris (yang juga dikenali sebagai Ibn Idris) bin Muhammad al-Hassan bin Muhammad asy-Syarif bin Abdul Ali bin al-Qutb al-Imam Sayyid Ahmad bin Idris al-Fasi.
Selaku wakil Tariqah Ahmadiah Idrisiah di Singapura, Ustaz Mohamad Hasbi sering menekankan adab memberi penghormatan kepada Dato’ Mufti (Negeri Sembilan) Tuan Shaykh Muhammad Murtadza bin Ahmad bin Muhammad Sa’id al-Linggi sebagai Khalifah yang mentadbirkan urusan-usuran Ikhwan di Asia Tenggara.
Kami mengadakan aktiviti utama kami di Masjid Kassim (Changi Road), Masjid Hj Muhd. Salleh (Palmer Road) dan Masjid Omar Kampong Melaka (Keng Cheow Street). Bahkan aktiviti kami di Masjid Kassim telah berlangsung sejak lama lagi ketika di bangunannya yang lama sebelum bangunan yang ada sekarang ini. Kami amat berterima kasih kepada pihak LPM atas kerjasama, keizinan dan kefahaman pihak LPM terhadap kami dan aktiviti yang diadakan dalam rangka sama-sama memakmurkan masjid.
Di antara kegiatan-kegiatan Tariqah adalah majlis zikir secara halaqah yang dipimpin oleh Ustaz Mohamad Hasbi selepas sholat fardhu Isyak
1) di Masjid Kassim pada hari Ahad
2) di Masjid Omar Kg Melaka pada hari Khamis
Ingin kami maklumkan bahawasanya sebelum ini, halaqah zikir serta kuliah-kuliah panagajian di masjid Kassim juga pernah dipimpin oleh al-Marhum Ustaz Othman bin Mohammad Yusof.
Majlis zikir secara halaqah juga diadakan di Masjid Haji Muhd Salleh (Palmer Road – Maqam Habib Nuh) yang dipimpin oleh Tuan Haji Yahya, seorang ahli kerabat keluarga besar Tuan Shaykh Muhammad Sa’id Al Linggi . Majlis ini diadakan pada hari Ahad (selepas Isyak) di dewan sholat.
Dengan adanya majlis-majlis zikir yang bergerak di merata tempat, para Ikhwan dapat menikmati santapan rohani tanpa keberatan lokasi jauh kerana tempat-tempat yang dipilih itu merupakan lokasi strategic bagi semua.
Namun ikhwan semua akan berkumpul di bawah bumbung Masjid Haji Muhd Salleh (Palmer Road – Makam Habib Noh ) yang penuh berkah, pada hari Ahad minggu pertama setiap bulan untuk meraikan kedatangan Tuan Shaykh Faiz bin Ahmad bin Muhammad Sa’id al-Linggi, di mana beliau akan memimpin majlis zikir selepas Isyak di dewan sholat masjid tersebut.
Semua ikhwan juga akan berkumpul di Masjid Haji Muhd Salleh (Palmer Road) tatkala ada sambutan majlis haul bagi pengasas-pengasas tariqah ini seperti haul al-Qutb Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris , haul al-Qutb Tuan Shaykh Sayyid Ibrahim ar-Rasyid , haul al-Qutb Tuan Shaykh Sayyid Muhammad ad-Dandarawi , Haul Shaykh Muhammad Sa’id Al Linggi , dll.
Masjid Kassim juga adalah lokasi yang para Ikhwan akan berkumpul pada hari Ahad (sekitar jam 3:30 pagi) pada minggu terakhir setiap bulan bagi melaksanakan Ibadah Qiyamullail bersama Ustaz Mohamad Hasbi secara berjemaah dan diselitkan zikir-zikir Tariqah Ahmadiah Idrisiah.
Hasrat kami untuk menyediakan lelaman ini adalah supaya kesemua keluarga Ikhwan Ahmadiah Idrisiah khususnya di Singapura dapat mengeratkan silaturrahim diantara kita.
Untuk memuatkan bahan-bahan di lelaman ini, kami ingin menyatakan yang telah kami perolehi banyak daripada sumber-sumber yang tersedia ada. Diharapkan bagi pihak yang belum kami mendapatkan keizinan, harap dapat hubungi kami melalui lelaman ini dan kami juga dalam proses mengemaskinikan semua peradaban untuk meminta kebenaran daripada pihak-pihak yang berkenaan.
Buat masa ini, kami menyiapkan lelaman ini sekadar memberitakan secara ringkas kerana kami dapati banyak yang telah diusahakan di lelaman yang lain. Diharapkan juga supaya kumpulan tariqah lain di Singapura dapat menghubungi kami untuk sebarang perhimpunan yang akan membawa kepada kemanfaatan bagi kita semua.
Semoga usaha kecil ini dapat memberikan semacam maklumat tentang kegiatan at-Tariqah al-Ahmadiah al-Idrisiah di negara Singapura.
Wassalam.
__________________________________________________________________
Para pengunjung yang dihormati. Anda diberikan keizinan am untuk mencetak mana-mana halaman dari laman web ini, dengan syarat ia adalah untuk kegunaan peribadi sahaja.
Anda juga dibenarkan menyalin dan menerbitkannya semula, sama ada di dalam laman web yang lain, atau sebagai bahan bercetak di dalam bentuk buku, majalah atau periodikal, dengan syarat diikuti dengan rujukan kembali kepada alamat lelaman http://www.ahmadiah-idrisiah.com yang boleh ditekan.